♥ Selamat Datang Ke Laman Interaktif Nisa' Kuala Langat. Pemangkin Mujahidah Solehah ♥

Kita Laksana Impian Bersama
Lakaran Minda Generasi Remaja

Sirah: Mengenali Sofiyyah Binti Mutalib

4:04 PM Edit This 0 Comments »

Sofiyyah Binti Mutalib

Sofiyyah merupakan seorang wanita yang mempunyai banyak pertalian dengan Rasulullah s.a.w. Beliau adalah ibu saudara sebelah ayah Rasulullah s.a.w, saudara perempuan kepada Hamzah b. Abdul Mutalib (bapa saudara Rasulullah s.a.w). Beliau juga merupakan sepupu Rasulullah s.a.w sebelah ibu,anak kepada Halah bt. Wahab, dalam masa yang sama beliau adalah biras kepada Baginda s.a.w kerana mengahwini Al-Awwam b. Khuwailid.

Perang Uhud

Sofiyyah merupakan seorang wanita yang sangat berani dan keras pendiriannya. Sifat ini terbukti apabila ketika di Perang Uhud beliau merupakan diantara mereka yang tetap thabat di medan perang. Ketika perang semakin sengit, Rasulullah s.a.w mengarahkan anaknya Zubair Al-Awwam memintanya untuk kembali kerana risaukan akan keselamatan ibu saudara baginda s.a.w . Dengan tegas dan berani beliau menjawab : “Untuk apa? Sedangkan telah sampai berita kepadaku bahawa saudara lelakiku (Hamzah) telah diseksa mayatnya, dan ianya di jalan Allah?“. Zubair menyampaikan perkara tersebut kepada Rasulullah s.a.w maka baginda membiarkannya.

Peperangan Al-Ahzab

Ketika Perang Khandak seorang yahudi telah dihantar untuk mengintip dan menceroboh tempat perlindungan wanita dan kanak-kanak. Ketika itu seorang sahabat Rasulullah s.a.w, Hasan b. Thabit telah ditugaskan untuk melindungi mereka. Apabila mengetahui kehadiran si Yahudi, beliau berkata kepada Hasan : “keluarlah dan bunuhlah dia“. Namun Hasan berkata “Aku tidak mampu,sekiranya aku mampu,sudah tentu aku berada bersama baginda Rasulullah (berjuang di khandak)”.

Akhirnya dengan berani,Sofiyyah keluar dari persembunyiannya lalu memenggal sendiri kepala Yahudi tersebut. Setelah itu,beliau meminta Hasan mencampakkan kepala Yahudi itu ke kawasan orang Yahudi dengan tujuan menakutkan mereka, namun sekali lagi Hasan menjawab : “aku tidak mampu“. Akhirnya wanita yang berani itu sendiri mencampakkan kepala Yahudi itu sehingga menyebabkan orang Yahudi menyangka ada pahlawan yang hebat yang melindungi tempat perlindungan kaum wanita dan kanak-kanak itu dan mereka terus beredar. Dengan peristiwa ini, beliau merupakan muslimah pertama yang membunuh seoarang lelaki musyrik.

Ibu kepada Zubair bin Al-Awwam (Hawari Rasulullah s.a.w)

Keberaniannya itu turut diwarisi oleh anak lelakinya Az-Zubair b. Al-Awwam, orang pertama yang menghunuskan pedang di jalan Allah dan digelar dengan gelaran Hawari (penolong) Rasulullah s.aw.. Ini adalah merupakan hasil didikannya yang keras ke atas Az-Zubair. Selepas kematian suaminya Al-Awwam, beliau sangat mengambil berat atas pendidikan anak-anaknya terutamanya anak lelakinya,Az-Zubair.

Sekiranya Az-Zubair yang ketika itu masih kecil bergaduh dengan rakannya dan pulang untuk mengadu kepada beliau,beliau akan mengikat anaknya itu dan memukulnya. Pernah beliau ditegur oleh kerabatnya atas kekerasan didikannya itu dan diminta supaya mengasihani anaknya yang yatim, dengan tegasnya dia menjawab : “Aku ingin menjadikannya seorang lelaki yang tidak boleh dikalahkan dan tidak boleh dikuasai, yang tidak akan tunduk kepada seorang pun dari makhluk Allah”.

~Wallahu'alaam..

0 comments: